Thursday, February 22, 2018

Aku Rindu

Aku tidak mudah menangis. Tetapi dengan dia aku kalah. Sejauh mana aku bertahan, pengakhirannya aku tetap kecundang. Kuasa apakah yang kau tanam dalam diri ini. Mungkin atas dasar kasih sayang maka air mata ini tetap gugur. Walaupun aku tidak zahirkan rasa sayang itu, tetapi sayang itu tetap utuh dan mekar. Benar, aku terluka dan kecewa. Siapalah aku untuk menghindari rasa sebegini. Aku hanyalah manusia biasa. Dan siapalah aku untuk menghukum. Kerana aku tahu sesungguhnya kau sendiri dalam kesakitan. Kesakitan yang pasti hanya kau merasainya. Jika dibandingkan dengan rasa sakit yang aku rasai hanyalah picisan. Rasa kecewa dan terluka silih berganti dengan rasa kasihan yang aku hanya mampu titipkan doa untukmu. Melihat dirimu saban hari mengharungi kehidupan yang berliku, masih aku hanya mampu kirimkan doa untukmu. Moga ada sinar dan pelangi untukmu. Moga suatu hari kau mampu tersenyum. Dan moga suatu hari senyumanmu mampu buat orang orang di sekeliling mu turut tersenyum. Pernah aku cuba untuk berputus harap, buang kau dalam hidupku tetapi dengan kau, seringkali aku tewas. Adakah aku terlalu berharap? Boleh kau ajarkan aku untuk aku berputus asa? Dan jawapan dia masih sama. Aku terima hakikat kehidupan kau begitu penting dalam hidupku. Walaupun kau jauh dari pandangan mata kasarku, tetapi kau tetap dekat di hatiku. Bila rindu menyapa, air mata aku tetap gugur. Terus gugur dan gugur. Moga kau mempunyai pengakhiran yang baik, begitu juga aku. Dan air mata aku tetap gugur bagai tiada penghujungnya....

No comments: